Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ghani Hassan, mengesahkan nasib Selangor yang berhasrat menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi awal musim ini akan diputuskan berdasarkan pemeriksaan kali kedua minggu ini.

Kerosakan bumbung menjadi fokus utama untuk proses pemeriksaan itu apabila akan melibatkan beberapa pihak berwajib.

Ia penting untuk menentukan peluang Gergasi Merah beraksi di gelanggang keramat itu ataupun sebaliknya.

"(Stadium Shah Alam) boleh mengadakan perlawanan bola sepak tetapi bahagian bumbungnya mengalami sedikit kerosakan.

"MFL khuatir dengan keadaan (keselamatan) penonton menjelang perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan datang," kata Ghani.

Semua venue yang membabitkan aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini perlu mendapatkan kelulusan dengan menepati tahap piawaian yang ditetapkan MFL, sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Februari ini.

"Setakat ini, kami yakin (akan mendapat kelulusan).

"Sebagai jaminan, kami juga akan menggunakan khidmat pihak seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melakukan pemeriksaan," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon.

Sementara itu, isu berkenaan tidak mengganggu persiapan barisan pemain kendalian B. Sathianathan itu yang terlebih dahulu akan berkunjung ke Stadium Darulmakmur bertemu Pahang sebagai perlawanan pembuka kempen.

"Tidak kira di mana pun kami akan beraksi, fokus saya sentiasa kepada perlawanan.

"Kalau bukan beraksi di Stadium Shah Alam sekalipun, persiapan kami tetap sama," kata pemain tengah, Brendan Gan.



Editor: Shaiful Shamsudin