"Mereka semua adalah hero saya! Sudah lama kami tidak bermain dan bersemangat seperti ini," kata Pengiran Bala sambil tersenyum lebar selepas skuad bimbingannya, Sarawak, melakar kemenangan 4-2 ke atas Kedah dalam Liga Super di Stadium Negeri, malam tadi.

Beliau mengakui terharu dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anak buahnya, terutama kebangkitan pada separuh masa kedua selepas ketinggalan dua gol.

"Pada waktu rehat itu, saya tegaskan kepada semua (pemain) bahawa kita bermain terlalu perlahan... dan bola banyak berlegar di kawasan tengah. Kita mahu ubah kerana saya mahu gunakan sepenuhnya kelebihan sayap, ketika lawan leka memberi tekanan."

Kata Pengiran Bala, beliau dan penolongnya, S Velloo, sudah mengesan kekosongan di bahagian belakang sayap apabila pemain pertahanan lawan naik ke atas.

"Perkara utama selepas itu adalah untuk mendapatkan gol sulung. Selepas gol, corak permainan akan berubah kerana kami tahu Kedah akan memburu gol dan ini akan membantu menjayakan strategi kami."

Jelasnya, dalam menghadapi pasukan seperti Kedah, strateginya adalah untuk menyerang bertubi-tubi dan tidak boleh berkubu.

"Sebab itu, Shreen Tambi, kerap menghantar bola ke bahagian sayap kerana kami ada pemain pantas seperti Shamie (Iszuan Amin) dan Tommy (Mawat Bada) yang kemudian diganti Sahil (Suhaimi)."

Tegasnya, kemenangan 45 minit kedua itu tidak akan menjadi realiti jika pemainnya tidak berdisiplin.

"Mereka bermain dengan cukup baik dan mengikut arahan. Selepas 'kena' dua gol pada separuh masa pertama, mereka dapat kembalikan semangat. Dan mereka kembali dengan perwatakan dan sikap yang menakjubkan," tambahnya.

Empat gol Sarawak dijaringkan Nur Shamie Iszuan Amin, Mateo Roslam (dua gol) dan Hairol Mokhtar, manakala jaringan Kedah disumbang Ken Ilso Larsen dan Baddrol Bakhtiar.

Pengiran Bala mengakui Kedah sebuah pasukan yang kuat dan bagus.

"Dan kerana itulah, saya amat gembira apabila pemain kami berjaya bangkit. Kami sentiasa hormat lawan yang datang ke sini (Stadium Negeri).

"Tetapi tiba masanya untuk kita memberitahu, stadium ini stadium kita. Dan kami perlu ada kepercayaan kepada pasukan kita."

Pengiran Bala turut merakamkan penghargaannya kepada pemain ke-12, iaitu lebih 1,000 penyokong Sarawak yang sentiasa setia dan tidak berundur biarpun pasukan ini berada di bawah tekanan kuat.

"Merekalah tulang belakang kejayaan pasukan ini dan saya berharap ia akan diteruskan dalam aksi terakhir menentang T-Team bulan depan."