Tindakan Melaka United Football Club (MUFC) tidak menyambung kontrak jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris, mendapat perhatian ramai netizen yang menyatakan pihak pengurusan memperkecilkan kebolehan yang ada pada jurulatih itu.

Pengurus Melaka United, Datuk Seri Yusoff Mahadi, bagaimanapun, menafikan kenyataan tersebut dengan menyatakan pihak pengurusan tidak memandang rendah terhadap kemampuan Matzan.

Sebaliknya, katanya, perubahan tersebut dilakukan atas dasar untuk memantapkan skuad Hang Tuah bagi menghadapi badai Liga Super 2017.

“Dia dah buat yang terbaik untuk Melaka, kita ucapkan terima kasih.

"Melaka United merupakan pendatang baru dalam Liga Super, saya rasa kami perlu berani melakukan perubahan.

"Adakah satu saat apabila Mat Zan sudah gagal, baru kita hendak berubah?”

“Mungkin kita dengan jurulatih baru pun tidak menjanjikan kejayaan, tetapi kita boleh belajar daripada kekurangan yang mungkin timbul,” kata Yusoff ketika dihubungi.

Sambil keputusan MUFC tidak melanjutkan khidmat Mat Zan menimbulkan pertikaian, netizen turut mempersoalkan tindakan MUFC yang tidak profesional kerana tidak memaklumkan keputusan secara rasmi kepada jurulatih berkenaan.

Mat Zan sebelum ini menyatakan dia terpaksa membuat andaian sendiri bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan kerana MUFC tidak memaklumkan apa-apa kepadanya.

Berikutan itu, netizen tidak berselindung dengan rasa tidak puas hati terhadap MUFC dengan menggelar pengurusan skuad Hijau Putih itu “tidak mengenang budi”, “kacang lupakan kulit”, "habis manis sepah dibuang".

Tidak kurang juga yang mengharapkan Persatuan Bolasepak Melaka mendapat balasan setimpal kerana bersikap tidak mengenang budi, dengan ramai mengandaikan Melaka akan kembali diturunkan ke Liga Perdana selepas hanya semusim dalam Liga Super.

Andainya itu benar-benar berlaku, netizen menganggapnya sebagai "sumpahan Mat Zan".

Dalam perkembangan terbaharu, MUFC telah mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat jurulatih luar dan kini tiga calon sudah ada dalam senarai untuk dinilai dari segi kebolehan untuk mengendali Melaka United.

Tiga calon jurulatih itu adalah dari Brazil, Australia dan England.