Melaka terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas menewaskan Selangor 2-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Melaka membawa misi yang cukup getir dalam perlawanan itu apabila berada di zon penyingkiran bersama dua lagi pasukan, Kelantan dan Sarawak.

Keazaman Melaka untuk mencari kemenangan dapat dilihat apabila menjaringkan gol seawal minit kelima menerusi Jasmin Mecinovic yang berpunca daripada sepakan penjuru Felipe De Souza.

Melaka terus mempamerkan penguasaan sepanjang separuh masa pertama dan gol kedua terhasil pada minit ke-41.

Jaringan tersebut berpunca daripada kesilapan pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin yang membolehkan Marko Simic mudah menolak masuk bola ke gawang untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Selangor melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua untuk mengimbangi asakan daripada tuan rumah dan hasilnya pemain tengah Selangor, Rufino Segovia, bijak mencuri ruang untuk melepaskan rembatan selepas menerima hantaran daripada A. Namathevan untuk merapatkan kedudukan menjadi 2-1.

Biarpun mempunyai beberapa peluang terhidang, Selangor tetap gagal untuk mencari gol penyamaan dan Melaka mengesahkan kemenangan 2-1, sekaligus mengekalkan diri dalam saingan Liga Super musim depan dan melegakan jurulatih, Eduardo Almeida.

“Kemenangan ini amat berharga kerana perlawanan ini sangat penting. Saya amat bangga dengan aksi pemain-pemain,” katanya.

“Sepatutnya dalam aksi sebegini, kami tidak boleh melakukan kesilapan seperti yang dilakukan pada malam ini.

“Melaka bijak bertahan selepas kami menjaringkan gol,” ujar pengendali Selangor, P. Maniam, pula.