Melaka tidak rela kempunan tiga mata 

Oleh Penulis Jemputan 26 September 2017 335
Melaka tidak rela kempunan tiga mata 
Penyerang Melaka United, Fauzi Roslan, dan pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee, menyifatkan kejayaan mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam suku akhir kedua Piala Malaysia hujung minggu lalu sebagai tonik terbaik untuk berdepan Selangor bagi melunaskan misi kekal dalam Liga Super, musim depan. 

Skuad Melaka melakar kejutan apabila seri 1-1 ketika menentang JDT di Stadium Larkin. 

Meskipun keputusan itu tidak membantu Melaka untuk meneruskan kemaraan dalam Piala Malaysia, ia tetap satu pencapaian hebat susulan kejayaan mengikat JDT di kubu kuatnya sendiri. 

Lebih menarik, ia hadir ketika anak buah Eduardo Almeida menagih keputusan positif dalam pertemuan seterusnya bertemu Selangor di laman sendiri, malam esok.

"Semangat seperti itu memang diperlukan. Prestasi dengan JDT (Ahad lalu) perlu diteruskan ketika kami berdepan Selangor. 

"Pemain-pemain bersemangat untuk membantu Melaka kekal dalam Liga Super," kata Fauzi. 

Berbaki dua perlawanan liga, skuad Melaka hanya memerlukan satu kemenangan untuk kekal dalam Liga Super musim depan tetapi jika berlaku sebaliknya, keputusan perlawanan lain membabitkan pasukan Sarawak dan Kelantan akan menjadi penentu peluang tersebut. 

"Kami mahu bangkit ketika bertemu Selangor sebab kami mengharapkan tiga mata Liga Super di tempat sendiri, seterusnya dapat mengatasi Kelantan," katanya. 




 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen