Khidmat ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, akan dikekalkan untuk membimbing skuad Sang Kancil itu musim depan, kata Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari.

Beliau, yang juga Ketua Menteri Melaka, berkata walaupun gagal mencapai sasaran memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini, Zainal Abidin, 58, dilihat berpengalaman luas dan masih relevan bagi memastikan pasukan itu dapat memperbaiki kedudukan musim depan.

"Kami bermula agak cemerlang pada awal musim, namun faktor kecederaan pemain memberi cabaran kepada pasukan dalam pusingan kedua dan menyebabkan prestasi pasukan agak terganggu.

"Jadi, dalam musim seterusnya, kami akan membiarkan dia membuat perancangan bagi pasukan ini selain menilai potensi-potensi baru untuk diketengahkan," katanya selepas melancarkan program Bazar Peduli Rakyat Negeri Melaka di Bukit Baru hari ini.

Adly berkata bagi saingan musim depan, persediaan lebih awal akan dilakukan bagi membentuk barisan terbaik selain memberi bayangan lebih ramai pemain muda akan dibawa masuk membarisi pasukan negeri Hang Tuah itu.

"Kami akan melihat potensi fizikal pemain-pemain dan ia akan ditentukan oleh Zainal tetapi majoritinya adalah pemain muda selain melihat bajet keseluruhan yang diperlukan," katanya.

-- BERNAMA