Melaka dikenakan hukuman pemotongan tiga mata serta-merta dalam saingan Liga Super 2020 susulan kegagalan menjelaskan baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

Perkara itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dalam satu kenyataan malam ini, selepas ia diputuskan dalam mesyuarat ‘First Instance Body’ (FIB) Pelesenan Kelab FAM, yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, menerusi sidang video hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata Melaka telah membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki tertunggak selepas melunaskan separuh daripada jumlah tunggakan pada 31 Januari lalu..

“Namun, selepas itu, tiada sebarang pembayaran bagi baki yang masih tertunggak dibuat oleh Melaka seperti mengikut jadual pembayaran yang mereka sendiri telah tetapkan dan ia perlu dijelaskan pada penghujung bulan lalu.

“Mereka didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan sendiri oleh mereka, sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata ini,” jelas Stuart.

Pelaksanaan pemotongan mata itu bakal menyaksikan selepas empat perlawanan, Melaka, yang kini menghuni kedudukan ketiga Liga Super dengan enam mata, akan terperosok ke tangga ke-11.

Pada masa sama, FAM mengingatkan skuad bimbingan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan, itu bakal berdepan pemotongan enam mata lagi sekiranya gagal menyelesaikan baki ansuran tersebut sebelum 30 April ini.

Dalam pada itu, FAM turut mengesahkan Sarawak tidak lagi mempunyai sebarang tunggakan hutang dengan pemain dan pegawai pasukan itu selepas kes tunggakan terdahulu telah diselesaikan sepenuhnya.

Bagaimanapun, Sarawak antara tiga pasukan selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kelantan yang masih mempunyai tunggakan hutang sama ada dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

FAM menegaskan pembayaran atau pelan penyelesaiannya harus dilaksanakan selewat-lewatnya pada 30 April.

PDRM sebelum ini terpaksa memulakan kempen Liga Super dengan pemotongan tiga mata oleh FAM selepas skuad The Cops itu gagal melangsaikan tunggakan gaji dan mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai pasukan berkenaan pada Januari lepas.

-- BERNAMA