Pengendali skuad Selangor, B. Sathianathan, tidak kisah mengenai kedudukan serta masa depannya bersama pasukan bagi musim hadapan apabila menjelaskan tumpuannya kini hanyalah terarah kepada kelangsungan bola sepak pasukan bimbingannya.

Pengendali skuad The Red Giants itu menegaskan dia masih menjalankan tugasnya sebagai jurulatih dan menyerahkan sebarang keputusan kepada pihak pengurusan untuk menentukan nasibnya selepas musim ini melabuh tirainya.

"Bagi saya, saya adalah jurulatih pasukan, saya tidak peduli dengan masa depan saya. Selagi apa yang semua pemain tahu, saya akan memberikan seratus peratus kepada pasukan. Itu yang saya ambil tahu," katanya Sathianthan ketika sidang media pasca perlawanan antara Selangor dan PJ City yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium UiTM, semalam.



"Mereka (pihak pengurusan) boleh memutuskan apa sahaja yang mereka mahukan. Saya tidak mengambil cuti walaupun sehari...saya bekerja. Saya melakukan semuanya dan pemain juga melakukannya.

"Saya telah memberikan seratus peratus, jadi saya tidak peduli, mereka (pihak pengurusan) boleh buat apa yang mereka mahu," katanya lagi.

Selangor bakal menentang Sabah dalam perlawanan seterusnya Jumaat ini dalam misi memburu kemenangan pertama mereka selepas Liga Super ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.