Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menafikan dakwaan sebuah portal laman sosial bahawa Sarawak meminta bantuan dan sedekah daripada pihak luar untuk menyelesaikan kemelut gaji pemain dan pegawainya.

Presidennya, Dato Posa Majais, menegaskan dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali.

"Saya yang akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam apa sahaja yang berlaku dalam pengurusan persatuan.

"Persatuan masih lagi mempunyai maruah daripada meminta bantuan pihak luar dalam menyelesaikan masalah gaji pemain dan pegawai pasukan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Posa, isu pembayaran gaji bukanlah isu yang besar kerana beliau sendiri secara peribadi banyak membantu biarpun mengakui terdapat sedikit kelewatan.

"Sepanjang memegang tampuk kepimpinan FAS, isu pemain dan pegawai tidak menerima gaji tidak timbul sama sekali.

"Oleh itu, saya mengharapkan pihak yang membuat spekulasi liar supaya menghentikan tindakan mereka dan jangan mempercayai mana-mana kenyataan yang bukan dikeluarkan oleh FAS," hujahnya.

Katanya, fokus persatuan ketika ini adalah untuk membangunkan sukan bola sepak Sarawak secara keseluruhannya dan menyempurnakan misi terakhir menentang pasukan T-Team pada 28 Oktober ini.

"Diharapkan semua pihak terus memberi sokongan kepada pasukan Sarawak yang kita sayangi," tambahnya lagi.