Maniam tidak bimbang dua import Indonesia belum lapor diri

Oleh Penulis Jemputan 27 Disember 2017 1111
Maniam tidak bimbang dua import Indonesia belum lapor diri
Jurulatih Selangor, P. Maniam, kekal tenang meskipun dua pemain import baru dari Indonesia, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armaiyn, masih belum melaporkan diri untuk latihan pra musim.

Punca sebenar kelewatan dua pemain berbakat dari seberang itu tidak didedahkan pengurusan skuad The Red Giants.

Bagaimanapun, Maniam dimaklumkan bahawa senario itu adalah prosedur dalam memastikan tidak ada isu berbangkit dalam proses perpindahan mereka dari Bhayangkara FC.

Begitupun, pasti ada sedikit kegusaran apabila Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) menerusi Presidenya, Jeneral Edy Rahmayadi, tidak memberikan restu kepada mana-mana pemain negara itu untuk beraksi dalam liga luar.

"Sudah tentu kami sedang tunggu pemain-pemain itu untuk menyertai latihan bersama Selangor tetapi saya rasa pihak pengurusan sedang menguruskannya. 

"Saya fikir dua, tiga hari lagi ia dapat diselesaikan dan mereka akan datang berlatih," katanya.

Difahamkan, tarikh paling awal untuk penyokong Selangor melihat kelibat Evan dan Ilham adalah pada Selasa ini.

Ini bermakna mereka mempunyai tempoh yang singkat untuk membentuk keserasian.

Tetapi Maniam tetap berasakan tiada masalah untuk mereka memberikan impak apabila saingan Liga Super membuka tirainya pada Februari ini.

"Sebagai pemain profesional, dalam aspek kecergasaan, saya fikir mereka sudah bersedia. Hanya melibatkan taktikal dan keserasian dengan pemain-pemain lain.

"Saya rasa ia mengambil masa tetapi sebulan sudah cukup," ujarnya.

Dua lagi pemain import memperkuatkan juara 33 kali Piala Malaysia itu adalah pemain berusia 32 tahun dari Sepanyol, Rufino Segovia del Burgo, dan bekas pemain Persija Jakarta dari Brazil, Willian Pacheco.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen