Pengendali Selangor, P. Maniam, mengesahkan The Red Giants sudah melengkapkan pemain import kelima mereka musim ini dengan menandatangani pemain tengah dari Sepanyol,
Alfonso de la Cruz Calero, yang akan tiba di Malaysia, esok.


Skuad Selangor sebelum ini memiliki empat pemain import untuk cabaran Liga Super 2018, iaitu Rufino Segovia, Evan Dimas, Ilham Udin Armaiyn dan William Pacheco dengan semuanya beraksi di posisi berbeza.

Tidak cukup dengan empat pemain, juara Piala Malaysia 33 kali ini menambah seorang lagi pemain import, Alfonso Calero, yang bermain di bahagian tengah serta boleh turun sebagai pertahanan.

"Saya dapat berasakan kehadiran lima pemain import melengkapkan skuad Selangor. Calero merupakan seorang pemain tengah yang turut berkebolehan untuk bertahan," kata Maniam.

Calero akan diperkenalkan secara rasmi dalam majlis pelancaran jersi baru Selangor di Shah Alam, esok.

Sementara itu, mengulas mengenai Stadium Kuala Lumpur, Cheras yang menjadi pilihan sebagai gelanggang rasmi pasukan susulan mereka tidak mendapat kebenaran untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil, Maniam berkata, "Kami berharap untuk bermain pada sebelah malam jika beraksi di Stadium Kuala Lumpur. Jika kami perlu bermain pada sebelah petang, kami perlu menyesuaikan diri."

Selangor hari ini telah melengkapkan perlawanan persahabatan terakhir dengan membenam kelab Korea Selatan, Korail FC, 3-1 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.