Kewibawaan pertahanan Selangor, Ugo Ukah, menambat hati pengendali, P. Maniam, yang mengharapkan agar pihak pengurusan mengekalkan pemain itu.

Walaupun belum ada sebarang keputusan rasmi mengenai pemain import Selangor, Maniam meluahkan hasrat melihat Ukah berada dalam skuadnya musim depan.

Kredibiliti pemain itu yang memiliki sifat seorang pemimpin mampu menjadi kelebihan Selangor andai kelibatnya dikekalkan.

Tegas Maniam, dalam situasi ketika ini, dia memerlukan pemain yang sinonim dengan cara permainan Selangor bagi memudahkan lagi perancangan dan taktikal yang akan diguna pakai menjelang saingan yang akan membuka tirai Januari ini.

"Ukah antara pemimpin di dalam pasukan. Kalau kita lihat tahun ini, dia menjadi pemain contoh buat pemain lain," jelas Maniam.

Dalam masa yang sama, perkembangan seorang lagi pemain import, Andik Vermansyah, turut dalam pemantauan.

Andai kecederaan pemain itu berjaya dipulihkan dalam tempoh kurang tiga minggu ini, sudah pasti Selangor tidak mahu kehilangan Andik yang masih mempunyai baki kontrak setahun.

"Pihak pengurusan akan membuat keputusan. Kalau dia mampu pulih dalam tempoh tiga minggu ini, saya rasa dia akan sempat beraksi pada Januari," tambahnya.