Main cantik sahaja tidak cukup buat Felda United --  Daniel Amier

Oleh Muzaffar Musa 19 September 2020 206
Main cantik sahaja tidak cukup buat Felda United --  Daniel Amier
"Felda United tidak boleh sekadar bermain cantik tetapi perlu menang,"  kata pemain tengah kelab itu, Daniel Amier Norhisham, yang tidak rela terus berputih mata meratap kekalahan demi kekalahan menjelang perhitungan dengan Pahang dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam esok.

Tempoh rehat selama tiga bulan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) memberi ruang untuk pemain muda itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan tulang metatarsal kanan.

Namun, penampilannya sejak liga kembali bersambung masih gagal membantu Felda United mencatatkan sebarang kemenangan.

Lebih merumitkan, hanya empat perlawanan berbaki sebelum musim ini melabuhkan tirainya pada 10 Oktober ini dan Felda United, yang kini menduduki tangga kesembilan dengan enam mata, perlu mengelakkan sebarang kekalahan untuk kekal berada dalam saingan Liga Super musim depan.

"Semua tahu keadaan Felda United sekarang memang agak bergelut," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Kami sendiri di dalam bilik persalinan agak kecewa kerana amat berat untuk kami mendapatkan tiga mata.

"Kami sudah memberikan 100 peratus dan sebagai pemain, kami semestinya mahu memberikan kemenangan buat Felda United.

"Tetapi buat masa ini, rezeki masih belum memihak Felda United dan kami berharap dapat mengumpulkan mata penuh dalam baki perlawanan ini," katanya.

Berdasarkan rekod lalu, Pahang memiliki kelebihan dengan memenangi kedua-dua pertemuan dalam Liga Super musim lalu. 

Kali terakhir Felda United melakarkan kemenangan ke atas gergasi Pantai Timur itu adalah dalam saingan liga tiga tahun lalu di mana skuad The Fighters bekenaan melakarkan kemenangan 2-1 di laman sendiri.

"Saya sendiri sudah melalui waktu yang mencabar sepanjang beberapa musim ini.

"Amat mencabar untuk mengekalkan Felda United dalam Liga Super.

"Musim ini agak sama seperti musim lalu.

"Musim lalu, kami hanya dapat mengesahkan tempat dalam Liga Super dalam perlawanan terakhir menentang Kedah.

"Jadi, mahu tidak mahu, kami perlu bekerja dua kali ganda lebih keras berbanding tahun lalu.

"Peluang itu masih terbuka dan saya secara individu akan memberikan yang terbaik untuk memastikan Felda United tidak akan ke Liga Perdana," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen