Mahizi: Jika Popov tolak, beri peluang kepada Hashim Mustapha

Oleh Shaiful Shamsudin 3 November 2016 16
Mahizi: Jika Popov tolak, beri peluang kepada Hashim Mustapha
Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) masih berharap bekas ketua jurulatih, Velizar Popov, menimbangkan semula keputusannya menolak tawaran yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), baru-baru ini.

Presidennya, Mahizi Mahmood, berkata pihaknya masih mengharapkan sentuhan magis Popov untuk terus mengemudi skuad The Red Warriors (TRW) semusim lagi bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan sehingga mampu muncul kuasa utama bola sepak tanah air.

“Kami harap Popov dapat mendengar rayuan daripada Kelate.Net dan berfikir semula berkenaan hasratnya menolak tawaran yang telah dikemukakan oleh KAFA atas alasan peribadi dan keluarga.

“Kejayaan mara ke suku akhir Piala Malaysia dan tempat keempat Liga Super membuktikan sentuhannya cukup menjadi dengan pemain TRW pula mempamerkan corak permainan yang menarik di bawah kendaliannya,” katanya.

Bagaimanapun, Mahizi akur jika Popov tetap dengan keputusannya dan mencadangkan jurulatih Piala Presiden, Mohd Hashim Mustapha, dinaikkan pangkat untuk mengemudi Kelantan pada musim hadapan.

“Beliau (Hashim Mustapha) telah membuktikan keupayaannya musim ini apabila membantu The President Warriors (TPW) mempertahankan kejuaraan apabila mengalahkan T-Team dalam aksi final baru-baru ini.

“Pengalaman Hashim sebagai bekas pemain dan pembantu jurulatih Liga Super sedikit- sebanyak mampu memberikan kelebihan kepada kami.

"Dengan kewangan KAFA yang agak terbatas, sekurang-kurangnya kita mampu menjimatkan sedikit perbelanjaan daripada membayar gaji jurulatih import."

Mahizi juga meminta KAFA mencontohi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang sanggup memberi peluang kepada jurulatih tempatan (Tan Cheng Hoe) dan terbukti Kedah mampu menjulang Piala Malaysia musim ini.

“Tengok kehebatan Kedah yang dibimbing jurulatih tempatan, Cheng Hoe, dengan muncul antara pasukan terbaik Liga Super dan mampu menjulang Piala Malaysia baru-baru ini.

“Kita patut yakin dengan kebolehan jurulatih tempatan dan Hashim Mustapha layak diberi peluang sebagai ketua jurulatih untuk TRW musim depan,” katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen