Secara kebetulan atau tidak, sememangnya profil bekas ketua pasukan yang juga pengurus The Bos Gaurus, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, dalam kancah bola sepak tempatan perlu direnungkan peminat.

Perak berada dalam prestasi terbaik ketika Ahmad Shahrul memegang watak ketua pasukan ketika itu dengan menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2000, juara Liga Perdana 1 pada 2002 dan 2003 manakala setahun kemudian, mendakap Piala FA.

Dalam edisi 2005 dan 2007, Perak menjadi naib juara Piala FA dan Piala Malaysia.

Ahmad Shahrul yang ditemui tetap merendah diri tetapi tidak menyembunyikan keyakinan untuk melihat Perak bangkit menjadi salah satu kuasa bola sepak tempatan.

"Saya pikul amanah dan tanggungjawab ini dan mahu bergerak ke arah kegemilangan.

"Ini bukan sesuatu yang mudah dan perlu masa untuk direlisasikan. Perak sudah lama dahagakan kejayaan.

"Oleh itu, saya mahu pemain merasai pengalaman ini. Saya pun dulu bermula dari bawah. Puaskan hati kami dengan mempamerkan prestasi terbaik. Tanam dalam jiwa, selain bermain selain untuk diri sendiri, kami bermain untuk peminat.

"Pastikan mereka tidak pulang hampa", kata Ahmad Shahrul.

Mengenai pertemuan separuh akhir pertama menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahad ini, bekas ketua pasukan Perak itu berharap pasukannya mengambil kelebihan selaku tuan rumah seperti dipamerkan ketika melakukan kejutan 4-0 ke atas Pahang dalam pertemuan suku akhir kedua lalu.