Masa depan jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, menjadi persoalan selepas skuadnya tewas buat kali ketiga dalam empat perlawanan tatkala aksi penjaga gol, Kamarul Effandi Abdul Rahim, turut menjadi pertikaian.

Pengurus pasukan, Datuk Kamaruddin Hassan, mendedahkan bahawa amaran bakal dikenakan tidak lama lagi kepada barisan pemain dan kejurulatihan.

Katanya, perkara itu disuarakan sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, kepada dirinya sejurus tamat perlawanan dengan PKNP semalam yang menyaksikan mereka tewas 1-2.

Sementara itu, Kamarul Effandi besar berkemungkinan direhatkan dalam perlawanan mendatang selepas sekali lagi melakukan kesilapan mudah.

"Satu tindakan perlu dibuat, terutama apabila melihat kepada jaringan kedua menentang PKNP. Ia membuatkan pihak pengurusan dan penyokong begitu kecewa. Kesilapan itu juga membuatkan barisan pemain kehilangan semangat di atas padang.

"Presiden telah menghubungi saya dan meminta agar ketua jurulatih mengambil satu tindakan yang tegas kepada pemain-pemain agar prestasi dapat diperbaiki," ujar Kamaruddin.

Bagaimanapun, Kamaruddin enggan menjelaskan bentuk hukuman yang akan dikenakan buat masa ini kerana ia bakal dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.

"Buat sementara, pihak pengurusan akan berbincang terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya dan kami akan memaklumkannya kemudian."