Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyelesaikan tunggakan wang insentif kepada semua persatuan negeri yang masih belum menerima geran berkenaan sehingga kini.

Menurutnya, SAFA juga masih belum menerima baki wang insentif itu, termasuk wang imbuhan kemenangan Liga Perdana 2019.

"Ketiadaan geran insentif terbabit bukan saja menyusahkan persatuan tetapi ia juga mencerminkan pengurusan FAM mahupun MFL yang tidak konsisten dan teratur," katanya.

"Tidak pernah dalam sejarah bola sepak negara di mana FAM tidak dapat menyelesaikan geran insentif sebelum ini.

"Persatuan negeri selama ini dibebani dengan kesemua perbelanjaan perlawanan, termasuk pembayaran pengadil yang terpaksa dibayar dahulu oleh negeri sebelum dibayar kemudian oleh FAM," tambahnya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Beliau juga berkata sekiranya FAM atau MFL tidak dapat menguruskan kesemua tanggungjawab berkenaan secara profesional, adalah lebih baik dua badan induk itu dirombak atau distruktur semula agar kewibawaannya tidak dipertikai dan akan ramai penaja senang hati membantu mereka.

"Kami tahu perbelanjaan untuk satu musim bukanlah sedikit, malah kelewatan persatuan membayar gaji kepada pemain lazimnya akan didenda oleh FAM atau FIFA, namun bagaimana pula keadaan apabila FAM pula yang bermasalah?

"Bagi SAFA, geran insentif berkenaan amat penting bagi pembentukan pelapis di peringkat negeri dan sekiranya tiada (geran), sudah pasti perancangan pembangunan bola sepak negeri akan terbantut," katanya.