Lima bekas pemain JDT tetap akan menyinar -- OKS

Oleh Staff Writer 22 Disember 2016 76
Lima bekas pemain JDT tetap akan menyinar -- OKS

Pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, percaya lima pemain Johor Darul Ta'azim (JDT) serta JDT II yang berhijrah ke pasukan lain musim depan akan tetap menyinar bersama pasukan baru masing-masing.

Jasazrin Jamaluddin dan Nazrin Nawi merupakan pemain pertama yang meninggalkan Johor bagi berhijrah ke Perak, dengan penghijrahan itu turut diikuti penyerang JDT II,  Zaquan Adha Abdul Razak.

Kapten Harimau Malaysia, Amri Yahyah, pula berpindah ke Melaka United sebelum Safee Sali kembali ke bumi Selangor untuk berbakti bersama PKNS FC.

Kim Swee melihat kelima-lima pemain tersebut tidak akan berdepan masalah untuk meninggalkan impak berkesan terhadap pasukan baru tatkala masing-masing memiliki pengalaman berharga ketika menyarung jersi JDT.

"Ini merupakan peluang untuk mereka membuktikan bahawa mereka masih lagi berbisa.

"Ini penting kerana mereka kini memasuki penghujung karier mereka. Jadi, jika mereka mampu beraksi dengan baik, sudah pasti mereka mampu mewarnai Liga Malaysia untuk dua hingga tiga tahun lagi," ujar Kim Swee.

Pada masa sama, Kim Swee berpendapat Safee -- yang membarisi skuad kebangsaan ketika muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 -- membuat pilihan tepat menyertai PKNS FC.

Kim Swee percaya dengan bantuan jurulatih berwibawa seperti E. Elavarasan, Safee akan kembali menemui sentuhan berbisanya.

"Kita sememangnya tahu Safee memiliki keiinginan dan perwatakan yang cukup positif. Meskipun tidak diturunkan dalam kesebelasan utama bersama skuad kebangsaan, dia mempamerkan semangat yang tinggi ketika sesi latihan.

"Saya berharap pemain muda sedia ada akan mencontohi Safee," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen