Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, memberi jaminan bahawa Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras akan siap sepenuhnya bagi saingan Liga Super musim 2018.

Tengku Adnan yang juga penaung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), mengakui menerima aduan daripada penduduk setempat di Bandar Tun Razak berkenaan kerja menaik taraf stadium itu yang sebelum ini tertangguh.

Beliau telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memastikan segala kerja membaik pulih stadium itu dapat disiapkan pada hujung tahun ini.

"Dua minggu lepas, saya telah mengarahkan pihak DBKL supaya pastikan stadium ini siap pada hujung tahun ini," katanya.

"Kami berdepan sedikit masalah dengan kontraktor stadium dan ia telah pun diselesaikan. Mengenai padang, kami telah berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan berharap mereka memberi kelulusan agar stadium itu dapat diguna pakai mengikut standard yang ditetapkan oleh FAM," tambahnya.

Tengku Adnan ditemui ketika majlis penerimaan trofi Liga Perdana 2017 di Putrajaya, hari ini.

Pemain dan pegawai KLFA kemudian berarak membawa trofi Liga Perdana mengelilingi beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur.

Dalam majlis sama, Tengku Adnan turut meletakkan sasaran buat KL untuk mengakhiri saingan Liga Super dalam kelompok lima pasukan terbaik.

"Kalau ada kecederungan dan kesanggupan, Insya-Allah ia akan dicapai," ujarnya.

Kuala Lumpur cemerlang menamatkan kempen Liga Perdana selaku juara selain meraih slot untuk beraksi dalam Liga Super 2018.

Antara tonggak utama di atas kejayaan The City Boys sudah pasti kelibat Guiherme De Paula yang berjaya meledak 27 gol.