Liga Super: PKNP di peringkat akhir selesai isu stadium 

Oleh Penulis Jemputan 29 Disember 2017 2282
Liga Super: PKNP di peringkat akhir selesai isu stadium 
PKNP FC kini dalam proses akhir untuk memutuskan stadium yang akan digunakan sebagai gelanggang rasminya dalam saingan Liga Super musim depan. 

Menurut Penolong Pengurus PKNP, Mohd Arfrendy Arasad, kelab yang berpangkalan di Ipoh itu sedang memperincikan beberapa perkara sebelum memberi pengesahan stadium yang akan digunakan. 

Difahamkan, Stadium Batu Kawan dan juga Stadium Shah Alam antara stadium yang berada dalam pertimbangan PKNP. 

"Kami telah menghantar permohonan kepada dua (perbadanan) stadium yang terletak berdekatan dengan Perak. Ia masih dalam rundingan peringkat akhir. 

"Ia mungkin akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu lagi," katanya. 

Dalam perkembangan lain, pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim, kini dalam proses akhir memastikan barisan pemain pasukannya menghadapi saingan musim depan. 

Selain itu, Abu Bakar juga mengharapkan anak buahnya bersedia menghadapi aksi Liga Super sebelum perlawanan pertama, 3 Februari depan. 

"Mereka perlu cepat menyesuaikan diri sebelum sepak mula, itu paling penting bagi saya.

"Pemain juga perlu keluar daripada perasaan rendah diri. Aksi ujian yang banyak diadakan ketika ini bagus untuk pemain memulakan aksi menjelang perlawanan pertama," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen