Kelantan kekal dalam saingan Liga Super musim depan setelah mengungguli aksi misi hidup dan mati yang penuh mendebarkan di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Selepas mengharungi musim sukar berikutan dihimpit masalah kewangan dan prestasi merudum, juara Liga Super 2011 dan 2012 itu bangkit daripada ketinggalan satu gol pada babak pertama untuk meraih kemenangan 3-1 dan seterusnya terselamat daripada zon penyingkiran.

Malang buat Sarawak yang sekadar seri 0-0 di Kuching untuk akhirnya tersingkir dengan menemani Pulau Pinang kembali ke Liga Perdana musim depan.

Tuan rumah, Melaka United, terlebih dahulu di hadapan menerusi tandukan Nicholas Swirad pada minit ke-30.

Bagaimanapun, Kelantan semakin mencengkam permainan pada baki 45 minit apabila mula melakukan umpanan berbahaya ke dalam kawasan penalti lawan.

Begitupun, Melaka yang sesekali menyerang memperolehi dua peluang menarik di depan gol sebelum digagalkan oleh ketumpulan Marko Simic.

Pemangku jurulatih The Red Warriors (TRW), Sathit Bensoh, kemudian mengubah pendekatan anak buahnya agar lebih kerap melancarkan hantaran-hantaran lambung ke depan gol.

Hasilnya, gol tandukan Abou Bakr Al-Mel ketika permainan hanya bersisa 15 minit lagi menyemarakkan perjuangan Kelantan dan enam minit selepas itu, pemain gantian kelahiran Brazil, Alessandro Celin, muncul wira, juga menerusi gerakan yang hampir serupa.

Jaringan itu diraikan dengan penuh beremosi oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, yang turut hadir untuk memberikan sokongan.

Tatkala pemain di atas padang meluru ke arah penyokong TRW, Bibi pula cuba menahan sebak dengan kelebihan yang sedang dimiliki barisan pemain TRW.

Tidak cukup dengan itu, sentuhan Celin pada minit ke-88 sekali lagi menggegar gawang gol Melaka untuk TRW mengesahkan kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan.

Dalam pertembungan lain, Kedah dan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) buntu tanpa jaringan dalam aksi yang disifatkan sebagai pra-perlawanan akhir Piala Malaysia, 4 November depan.

Dengan itu, JDT menamatkan saingan musim 2018 di kedudukan teratas dengan 49 mata manakala Lang Merah yang mengumpul 35 mata, terlepas untuk meraih tangga ketiga selepas dipintas Felda United.

The Fighters menutup kempen musim ini dengan kejayaan 4-2 ke atas PKNS FC yang dilakar di Stadium Shah Alam.

Felda memungut tiga mata selepas menyumbat dua gol pada masa kecederaan menerusi hatrik Thiago Augusto dan Zah Rahan Krangar.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang yang selesa di tangga kedua pula sekadar seri 1-1 dengan Perak.

Sementara itu, T-Team menghela nafas lega apabila keputusan seri 0-0 dengan Sarawak memastikan mereka terselamat, sebaliknya skuad Bujang Senang yang tersingkir.

Juara tujuh kali, Selangor, menamatkan saingan di tangga keenam apabila membenam Pulau Pinang 3-1 di tempat lawan.


Keputusan penuh:

Kedah 0 JDT 0

PKNS 2 Felda United 4

Melaka United 1 Kelantan 3

Pulau Pinang 1 Selangor 3

Pahang 1 Perak 1

Sarawak 0 T-Team 0