Liga-M tetap bersambung 16 Ogos ini

Oleh Bernama 22 Julai 2020 127
Liga-M tetap bersambung 16 Ogos ini
Liga Malaysia (Liga-M), yang dijadualkan bersambung pada 26 Ogos ini, akan diteruskan seperti yang telah diputuskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, berkata pihaknya telah berhubung dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mengenai perkara itu. 

Katanya, KBS mengesahkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini untuk membenarkan kejohanan kontak penuh seperti bola sepak bermula 15 Ogos 2020, masih kekal.

"Keputusan untuk menyambung semula Liga Malaysia seperti dirancangkan adalah kekal, tiada perubahan setakat ini, di mana semua pasukan Liga Malaysia kini sedang giat melakukan persiapan rapi," katanya dalam satu kenyataan MFL hari ini. 

Semalam, media tempatan melaporkan KBS akan meminta nasihat KKM dan MKN berhubung penganjuran semula Liga-M ekoran peningkatan kes COVID-19 di dalam negara ketika ini.

Liga-M 2020, yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat penularan COVID-19, akan bermula pada 26 Ogos dengan aksi serentak Liga Super dan Liga Perdana manakala saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17 Oktober depan. 

Bagaimanapun, perlawanan tertunda, iaitu aksi Liga Super di antara PJ City FC dan Terengganu FC selain perlawanan Liga Perdana antara UKM FC dengan Kelantan, akan berlangsung pada 22 Ogos.

Pada masa sama, Ab Ghani mengingatkan kepada pemain, pegawai dan semua pihak yang terlibat untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dab mengekalkan momentum seperti sesi latihan fasa satu.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen