Liga M ditunda ke Mac

Oleh Ammar Hakim 26 Januari 2021 653
Liga M ditunda ke Mac
Liga bolasepak Malaysia (MFL) telah membuat keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021 5 Mac 2021 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga awal bulan depan.
 
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, keputusan itu dicapai sejurus berbincang dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian serta turut mengambil pandangan dan persetujuan daripada wakil-wakil pasukan dalam satu taklimat khas semalam.
 
Jelas lagi Dato’ Ab Ghani, keputusan untuk meminda tarikh sepak mula Liga Malaysia musim 2021 yang sepatutnya berlangsung bermula pada 26 Februari depan disebabkan rentetan PKP kembali bersambung sehingga 4 Februari depan.
 
Kata Dato’ Ab Ghani, MFL telah bersedia menyediakan beberapa mekanisme seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan yang lebih ketat dan SOP latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan lebih efektif, selamat dan menghindari segala prospek pandemik COVID-19.
 
Mengikut perancangan awal, Liga Malaysia 2021 akan membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan juara dan naib juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Februari ini.
 
“MFL selepas Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL termasuk mengambil kira pandangan daripada setiap wakil pasukan telah mencapai kata sepakat untuk meminda tarikh sepak mula Liga Malaysia pada 5 Mac 2021 ini.
 
“Umum mengetahui bahawa status pandemik COVID-19 berada di paras yang cukup membimbangkan selain kebergantungan status PKP memainkan faktor tetapi MFL mahu bersedia dengan lebih awal.
 
“Selain permintaan Rakan Kongsi Liga yang mahukan persiapan sekurang-kurang tiga minggu sebelum sepak mula Liga Malaysia 2021, MFL juga mengambil faktor pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) melibatkan JDT serta pertandingan Piala AFC yang menyaksikan dua wakil negara, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC dalam kejohanan ini menyebabkan keputusan pindaan tarikh Liga Malaysia 2021 itu dicapai secara bersama.
 
“Apa yang pasti, MFL telah bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan penyediaan SOP latihan dan MFL akan sekali lagi membentangkan cadangan-cadangan ini kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan bebas daripada sebarang gelaja COVID-19,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
 
Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani mendedahkan Piala FA tiada dalam perancangan dalam kalendar Liga Malaysia musim 2021.
 
Jelas Dato’ Ab Ghani, keputusan ini berat untuk dicapai tetapi ia harus dilaksanakan bagi memastikan pasukan tidak dibebani dengan jadual padat sekali gus memberikan impak kepada kualiti Liga Malaysia.
 
“MFL juga telah membuat keputusan bahawa kalendar Liga Malaysia musim 2021 menyaksikan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup diteruskan.
 
“Tiada kejohanan Piala FA seperti tahun lalu di mana keputusan berat ini terpaksa dibuat demi memastikan keseimbangan jadual dan pasukan tidak dibebani jadual padat,” ujarnya.
 
Sementara itu, Dato’ Ab Ghani turut mendedahkan MFL memiliki beberapa lagi mekanisme untuk memulakan kempen Liga Malaysia musim 2021 jika PKP masih bersambung selepas 4 Februari depan.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen