Selepas kejayaan menamatkan saingan Liga Super musim ini tanpa kekalahan, pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, mengakui kemaraan ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) adalah sasaran utama musim depan.

JDT menamatkan saingan liga dengan 58 mata daripada 18 kemenangan dan empat seri dan tiga mata terakhir diraih selepas berjaya menewaskan Selangor 2-1 di Shah Alam, malam tadi.

Bagi Gomez, JDT mahu berada dalam kalangan kelompok elit kelab Asia dalam Liga Juara-Juara AFC musim depan.

"Piala AFC juga cukup berprestij tetapi kami mahu muncul selaku kelab pertama yang dapat beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC.

"Dua musim lepas, kami tewas 3-0 dan pada tahun 2015 kami kecundang menerusi sepakan penalti. Ini tahun ketiga, jadi kami mungkin berpeluang untuk mara," katanya.

Gomez mengakui Harimau Selatan sudah mempunyai perancangan menguatkan pasukan musim depan dengan beberapa muka baru serta latihan pra-musim di Sepanyol.

Tetapi ia akan hanya dapat disahkan apabila pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pulang dari luar negara bulan depan.

Dalam pada itu, pemangku pengendali Selangor, K. Gunalan, menegaskan aksi berdepan JDT pada Sabtu bukan ukuran kekuatan sebenar pasukannya dalam aksi final Piala Malaysia, 30 Oktober ini.

"Dalam separuh masa kedua, pemain telah berikan yang terbaik kerana persiapan kami ketika ini pun adalah untuk menghadapi Kedah dalam final Piala Malaysia.

"Saya tidak gembira dengan keputusan tewas 2-1 ini tetapi dengan mengambil kira beberapa aspek, antaranya ketiadaan Mauro (Olivi), jadi saya gembira dengan keputusan ini," jelasnya.