Pengendali Negeri Sembilan, Mario Lemos, melihat pasukan bimbingannya itu mempunyai masalah daripada segi keyakinan selepas kecundang kepada PKNP FC 2-1 dalam aksi Liga Super, semalam.

Kekalahan di tangan PKNP adalah yang kedua berturut-turut buat skuad Rusa itu sejak saingan liga disambung semula susulan tempoh rehat bagi memberi laluan kepada saingan Piala FA.

Berbeza dengan kekalahan besar 5-3 di tangan PKNS pada Selasa lalu, saingan kali ini menyaksikan Negeri Sembilan mempunyai kelebihan selaku tuan rumah.

Bagaimanapun, peluang yang diperoleh gagal dimanfaatkan sebaik mungkin oleh skuad Jang walaupun Nicolas Leandro Velez meraih jaringan.

"Ia adalah aksi yang sukar. Kami kurang keyakinan walaupun menampilkan aksi lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini.

"Saya tidak pasti berapa jumlah peluang yang dimiliki lawan tetapi apa yang pasti, kami sangat mudah dibolosi. Ini tidak boleh berlaku dan ia membunuh kami," kata Lemos.

Sementara itu, jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, mengakui kini sedikit lega selepas kemenangan itu menjarakkan kedudukan mereka daripada zon penyingkiran.

Malah, mereka juga mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan selepas mencatat keputusan seri dengan Kuala Lumpur dan Pahang, sebelum ini.

Bagaimanapun, Abu Bakar mengakui tugas anak-anak buahnya masih belum selesai dan mahu cuba mendapatkan seberapa banyak mata lagi untuk melonjakkan kedudukan dalam liga.

"Memang kami ingin mendapatkan seberapa banyak mata yang boleh, lebih-lebih lagi dalam tiga perlawanan berturut-turut, kami akan bermain di Ipoh. Kami akan menentang PKNS selepas ini selepas melalui dua aksi di tempat lawan," ujar Abu Bakar.