Selepas hampir dua bulan terperangkap dengan latihan ringan di rumah, penyerang Terengganu FC, Lee Tuck, boleh menarik nafas lega apabila dibenarkan untuk melakukan aktiviti riadah di luar menerusi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menurutnya, kelonggaran itu dapat dimanfaatkan untuk memastikan prestasinya berada di tahap tertinggi.

Menurusi satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Tuck berkata: "Saya mahu sentiasa cergas dan bersedia untuk menghadapi perlawanan.

"Selain itu, ia juga untuk ketenangan minda.

"Amat sukar untuk hanya berada di rumah. Amat penting untuk selalu melakukan senaman tidak kira ia berkaitan dengan bola sepak atau tidak.

"Saya perlu melakukan senaman setiap hari," katanya.

Selain sudah mula melakukan aktiviti di luar, Tuck juga mengekalkan staminanya menerusi latihan secara bersendirian di rumah.

Menariknya, dia telah berbelanja ribuan ringgit untuk membeli segala peralatan senaman dan kecergasan semata-mata bagi melalui tempoh PKP.

"Saya tidak memiliki peralatan untuk melakukan senaman di dalam rumah.

"Jadi, saya terpaksa membeli beberapa peralatan untuk menjalani latihan fizikal seperti yang biasa saya lakukan.

"Saya melakukan separuh maraton dan berbasikal secara maya.

"Saya hanya menikmati senaman itu.

"Isteri saya juga seorang jurulatih senaman, jadi kami dapat melakukan aktiviti itu bersama-sama," tambahnya.