Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, akan pastikan sesi latihan pasukan itu nanti akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, seluruh pasukan memang sangat gembira apabila boleh kembali semula ke padang untuk berlatih namun kesihatan dan keselamatan tetap menjadi keutamaan.

"Kita akan mula merancang untuk kembali berlatih dengan mematuhi SOP ditetapkan kerana kesihatan dan keselamatan semua yang terlibat di dalam padang sangat penting.

"Sudah pasti saya sangat gembira apabila mengetahui sudah boleh turun padang untuk berlatih, 'passion' kita semua adalah bola sepak dan memang 'gatal kaki' setiap kali melihat padang, saya dan semua pemain memang sangat merindui padang bola," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan semua pasukan Liga Malaysia dibenarkan menjalani latihan tanpa sentuhan dan mematuhi SOP, bermula 15 Jun ini.

Sementara itu, Kurniawan akui sangat berharap saingan liga akan bersambung, namun biarlah selepas keadaan benar-benar mengizinkan.

"Memang harapan saya agar liga dapat bersambung, bila ianya bersambung itu tidak menjadi masalah bagi saya kerana yang penting semua sihat dan ianya berjalan lancar," katanya lagi.