Tindakan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menambah kuota pemain import kepada lima pemain untuk saingan Liga Super musim depan, mendapat reaksi berbeza daripada pemerhati bola sepak tempatan.

Lembaga Pengarah FMLLP meluluskan kuota lima pemain asing dalam saingan Liga Super 2018 sementara dalam saingan Liga Perdana, kuota pemain asing kekal tiga pemain dari seluruh dunia dan seorang pemain Asia, menjadikan keseluruhan empat pemain asing sahaja setiap pasukan.

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Reezal Zambry Yahya, ia adalah satu keputusan yang adil buat semua pihak.

Sebagai bekas pemain dalam saingan Liga Super, Reezal percaya intensiti perlawanan akan turut berbeza dengan penambahan awang import.

"Kemasukan lima pemain import, saya percaya, perjalanan saingan liga lebih meriah dan pasukan-pasukan yang bersaing dalam Liga Super giat mendapatkan pemain-pemain yang terbaik," katanya.

Pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, pula berpendapat penyelarasan adalah perlu dalam pengambilan pemain import buat semua pertandingan.

"Pada pendapat saya, ia harus diseragamkan kepada semua pasukan untuk beraksi dalam semua pertandingan. Tetapi ia hanya akan memberikan kelebihan kepada pasukan yang memiliki perbelanjaan yang besar," katanya.