Kunjungan rakan sepasukan ceriakan bekas pemain Terengganu

Oleh Tengku Danish Bahri 15 Jun 2020 732
Kunjungan rakan sepasukan ceriakan bekas pemain Terengganu
Bekas pemain Terengganu era 90-an, Fadli Jalil, yang mendapat perhatian akibat masalah penyakit bulan lalu, menerima kunjungan bekas rakan-sepasukannya kelmarin.

Lawatan dibuat Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT) yang diketuai Mohamed Sekanther Abdul Hamed itu turut disertai pemberian sumbangan kepada Fadli.

Menurut Sekanther selaku Presiden PBDKT, Fadli, 53, merupakan bekas pemain yang komited selain bakatnya yang dicungkil daripada kejohanan PBDKT satu masa dahulu.

Justeru, Sekanther berkata adalah menjadi tanggungjawab PBDKT untuk menghargai jasa bekas pemain yang menderita penyakit kencing manis dan saraf itu.




"Kunjungan kami ini memberi keceriaan kepada Fadli yang saya lihat semakin beransur pulih walaupun pergerakannya masih terbatas.

"PBDKT tidak lupa kepada bekas pemain yang pernah menyarung jersi hitam putih dan kami akan membantu mengikut keupayaan.

"Semoga dia cekal dan kuatkan semangat untuk melawan sakitnya itu," katanya..

Fadli atau lebih dikenali sebagai Wek mula merosot kesihatannya awal tahun ini akibat komplikasi penyakit kencing manis dan saraf dihadapinya.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT)
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen