Penyerang Pulau Pinang, S. Kumaahran, mengakui masih mempertimbangkan masa depannya walaupun pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT), cuba mendapatkan khidmatnya untuk cabaran musim depan.

Kumaahran muncul antara pemain muda terbaru yang berada dalam radar JDT selain Syamer Kutty Abba dan Syafiq Ahmad selepas Adib Zainuddin dan Adam Nor Azlin hampir pasti berhijrah ke selatan tanah air.

Sememangnya, ia perkhabaran baik buat Kumaahran susulan berdepan kemungkinan ketiadaan pasukan musim depan ekoran kecederaan ligamen lutut serius.

Begitupun, Kumaahran ketika ditemui Nadi Arena hari ini enggan mengulas perkara itu kerana mahu memberi sepenuhnya tumpuan untuk proses pemulihan kecederaannya kini.

"Saya perlu tengok keadaan sendiri terlebih dahulu. Saya perlu mengambil sedikit masa dan tidak boleh membuat keputusan yang terburu-buru.

"Biarlah saya memberi fokus kepada proses pemulihan untuk kembali cergas," katanya.

Kumaahran ditimpa kecederaan dalam perlawanan separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur bertemu Indonesia, Ogos lalu.

Dia terpaksa berehat sekurang-kurangnya sehingga Februari depan, dengan situasinya bertambah sukar apabila kontraknya bersama Pulau Pinang bakal berakhir Disember ini.

"Dalam tempoh sebulan ini, saya sudah boleh berjalan dan mula bersenam.

"Keadaan saya semakin baik berbanding sebelum ini," katanya.