KUALA LUMPUR 5 KELANTAN 1

Kuala Lumpur melakar kemenangan terbesarnya dalam saingan Liga Super 2018 selepas membelasah Kelantan 5-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.


Skuad Warga Kota turun dengan misi untuk bangkit daripada kekalahan 3-2 di tangan PKNS FC sebelum ini tatkala Kelantan juga amat terdesak untuk merakamkan tiga mata dalam usaha keluar daripada kelompok bawahan liga.

Bagaimanapun, skuad kendalian Fabio Maciel itu hanya memerlukan empat minit untuk membuka tirai jaringan apabila Guilherme De Paula menyudahkan sepakan penjuru Paulo Josue.

Selang enam minit kemudian, giliran Josue pula membolosi gawang lawan apabila menyempurnakan umpanan Zhafri Yahya untuk Kuala Lumpur selesa mendahului 2-0.

Kelantan merapatkan jurang gol menerusi Shafiq Shaharudin pada minit ke-16, namun belum sempat mereka menyamakan kedudukan, De Paula menjadikan kedudukan 3-1 selepas penyerang dari Brazil itu menyempurnakan hantaran Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-23.

Memasuki separuh masa kedua, Kuala Lumpur terus mendominasi saingan dan meledakkan jaringan keempat pada minit ke-78 menerusi pemain gantian, Ashri Chuchu, sebelum pemain kelahiran Sarawak itu membuka ruang buat Junior Aperacido mencatatkan gol kelima ketika aksi berbaki lima minit.

"Pasukan ini membuktikan bahawa mereka mampu pergi jauh. Mungkin tidak dapat mencabar kejuaraan liga, namun sekurang-kurangnya bersaing di pertengahan carta.

"Kami akan mengekalkan corak permainan ini," kata Maciel.

"Saya perlu jujur, sekiranya pemain-pemain Kelantan terus beraksi begini, tidak fokus dalam setiap perlawanan, ia akan menimbulkan kegusaran untuk kekal dalam saingan Liga Super," ujar pembantu ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah.


Kredit foto: Facebook Football Malaysia LLP