Kuala Lumpur cari calon jurulatih kecergasan, penjaga gol 

Oleh Penulis Jemputan 19 Disember 2017 745
Kuala Lumpur cari calon jurulatih kecergasan, penjaga gol 
Di sebalik persiapan mantap skuad Kuala Lumpur untuk mengharungi Liga Super 2018, jurulatih, Fabio Marciel, melahirkan kebimbangan apabila pasukannya kini tempang tanpa jurulatih penjaga gol dan jurulatih  kecergasan. 

Sebelum ini, jawatan jurulatih penjaga gol dan kecergasan masing-masing disandang Hamsani Ahmad dan Hamizar Hamzah. 

Mengakui kekosongan yang ditinggalkan Hamsani -- disunting skuad Perak -- dan Hamizar, memberi impak terhadap persiapan pasukan, Marciel optimis pihak pengurusan mampu mencari pengganti dengan kadar segera. 

"Jurulatih kecergasan yang akan diambil nanti haruslah seiring dengan corak permainan kami. 

"Kami berlatih bola sepak kerana akan bermain bola sepak. Kami tidak berlatih di atas mesin berlari, kami bukannya akan memasuki pertandingan maraton," ujar jurulatih dari Brazil itu. 

Dalam aksi persahabatan pada Sabtu lalu, Kuala Lumpur menang tipis 1-0 ke atas pendatang baru Liga Perdana, Felcra FC, menerusi jaringan Ibrahim Syaiful pada minit ke-59. 

Meskipun hanya menjaringkan satu gol dan mensia-siakan banyak peluang terhidang, Marciel tetap berpuas hati dengan keserasian yang ditampilkan barisan pemainnya. 

"Buat masa ini, saya tidak berasa sebarang kebimbangan sungguhpun kalau kami menang 1-0 atau tewas 5-0. Tempoh ini adalah masa untuk saya melihat perkembangan permainan kami mengikut acuan saya," katanya selepas melonjak The City Boys ke saingan tertinggi itu dengan rekod 47 jaringan secara keseluruhan. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen