Pemain tengah, Makan Konate, berazam mengembalikan kepercayaan T-Team kepadanya serta membuktikan dia kini bebas daripada sebarang kecederaan serius untuk kembali menambah sengat pasukan itu, musim hadapan.

“Saya akui sebelum ini saya mengalami kecederaan yang serius di bahagian lutut dan selepas melakukan pemeriksaan, didapati kecederaan itu memerlukan pembedahan.

“Namun, saya diberi kebenaran pihak pengurusan T-Team untuk mendapatkan rawatan tradisional di Mali kerana di negara saya, ada kepakaran itu.

“Hasil rawatan itu, saya sudah pulih sepenuhnya, malah mampu berlari dan menendang bola tanpa melakukan pembedahan,” katanya.

Konate, 25, yang kini turut bersama rombongan pasukan itu menghadapi perlawanan persahabatan pra-musim di Indonesia, juga mengakui perasaan sayang terhadap T-Team mendorongnya menolak tawaran beberapa pasukan lain.

“Ada banyak pasukan yang mendekati saya tetapi saya tolak kerana hati ini masih kuat bersama T-Team dan mahu terus bersama pasukan ini untuk Liga Super 2017.

“Saya seronok di sini dan mahu membuktikan saya tidak akan diganggu lagi dengan masalah kecederaan lutut ini sepanjang latihan dan perlawanan persahabatan akan datang.

“Walaupun beberapa pemain import baharu juga sedang dinilai, saya tidak akan berputus asa serta akan bekerja lebih keras lagi untuk kekal dalam perancangan ketua jurulatih (Rahmad Darmawan),” ujar Konate.