Bekas pemain Pahang, R. Kogileswaran, mengakui keputusannya berhijrah menyertai PJ City adalah kerana mahu mendapatkan minit beraksi selepas sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad Tok Gajah itu.

Lima aksi dalam saingan Liga Super musim 2019 antara pendorong buat pemain berusia 21 tahun itu untuk berkelana mencari pasukan baru.

Masih lagi muda dan menginginkan pengalaman, Kogileswaran berharap untuk membuktikan kemampuan sebenarnya apabila memeterai perpindahan ke PJ City yang kini di bawah kendalian K. Devan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak, Pahang dan PJ City. Walaupun memiliki setahun lagi kontrak bersama Pahang, persetujuan dapat dicapai dan saya mahukan waktu beraksi," katanya.

"Ramai pemain-pemain senior dalam skuad ini akan dijadikan sebagai contoh dan saya mahu mengikut jejak langkah mereka dan berusaha untuk mendapatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga terbaik."



Editor: Ammar Hakim