Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) sedia menjawab 13 pertuduhan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengenai isu pemilihan kongres ke-31 yang tertangguh sambil bertegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi pilihan terakhir jika isu itu gagal diselesaikan.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, sudah bertemu PJS, Datuk Zaiton Othman, Jumaat lalu, dalam pertemuan yang turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, serta pihak pengadu.

Buat masa ini, KLFA diberi masa 14 hari untuk menjawab pertuduhan berhubung prosedur pencalonan yang didakwa terdapat keraguan.

Bagaimanapun, Nokman tetap tenang menghadapi isu yang dilemparkan tetapi menuntut penilaian yang adil daripada PJS.

"Mungkin saya akan membawa perkara ini kepada SPRM kerana di sana akan dapat diketahui sama ada perkara itu sahih atau tidak," kata Nokman.

"Kalau jawapan yang diraih daripada PJS tidak begitu baik dan saya dapati ada salah guna kuasa, saya akan mengambil tindakan lain."

Kongres KLFA yang sepatutnya berlangsung pada 18 November lalu diarah agar ditangguhkan oleh PJS selepas mendapat surat bantahan daripada ahli gabungan ekoran tidak berpuas hati dengan kaedah pengurusan pemilihan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, yang menawarkan diri bertanding jawatan presiden KLFA juga pernah menemui Nadi Arena untuk meluahkan terdapat unsur meragukan dalam proses pencalonan.

"Kami telah menjalankan tugas dengan baik. Sebenarnya proses ini bukan kami yang pinda tetapi sejak mula. Perlu diingat, persatuan ini tidak melakukan pemilihan selama bertahun-tahun.

"Ia pertama kali dan jika proses itu ingin diubah sekarang, tidak boleh kerana kalau ada unsur-unsur daripada ahli gabungan semasa kongres," tambah Nokman.