Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kecewa dengan sikap Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), Datuk Zaiton Othman, yang terus membisu berhubung penangguhan kongres ke-31 badan induk itu, malah belum memberi sebarang petanda mahu mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat.

Mesyuarat agung (AGM) KLFA sepatutnya dijalankan pada 18 November lalu, namun atas kemelut dalaman membabitkan ahli gabungan, AGM tersebut ditangguhkan dan sehingga kini pihaknya masih belum mendapat sebarang jawapan.

"Kami sedang menunggu keputusan PJS untuk menetapkan tarikh baru AGM KLFA. Ia sepatutnya diadakan dalam tempoh sebulan.

"KLFA memerlukan masa untuk memaklumkan kepada ahli gabungan dan perkara ini tidak boleh dilakukan dalam beberapa hari sahaja," kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.

Berikutan penangguhan itu, KLFA tidak dapat meneruskan sebarang perancangan mengenai persiapan musim depan, termasuk melantik jurulatih dan pemain, lebih-lebih lagi menjelang kempen pra-musim nanti.

"Kami ibarat digantung tidak bertali sehinggalah kami mendapat surat daripada PJS untuk menentukan tarikh AGM.

"Kami juga masih dalam proses mengenal pasti beberapa jurulatih tempatan.

"Calonnya sudah ada, mungkin ia akan diselesaikan minggu depan," katanya lagi.