Yusri Che Lah atau Nidzam Adzha Yusoff?

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) sedang mempertimbangkan dua nama penting yang bakal mengemudi skuad Kuala Lumpur musim depan, namun keputusan akhir hanya akan dibuat sebaik selesai mesyuarat agung tahunan (AGM), 18 November ini.

Keputusan melibatkan watak penting dalam mengemudi Kuala Lumpur musim 2019 kini bergantung kepada percaturan pengurusan KLFA sama ada percaya dengan kemampuan Nidzam mahupun Yusri.

Menurut Setiausaha Kehormat KLFA, Nokman Mustaffa, kedua-dua calon tersebut telah pun melewati pertemuan empat mata dengannya, bagaimanapun keputusan muktamad hanya akan diketahui selepas selesai AGM pertengahan bulan ini.

"Kami berminat untuk mendapatkan jurulatih tempatan, bukannya luar.

"Nidzam, Yusri mahupun jurulatih tempatan yang lain pun berpeluang.

"Namun, kami meminta mereka bersabar sebelum AGM dilangsungkan," katanya.

Menjelang AGM itu nanti, Nokman menegaskan sebarang usaha politik wang melibatkan ahli gabungan KLFA dipandang serius dan tidak dibenarkan sama sekali.

Campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berlaku sekiranya unsur itu diteruskan mana-mana pihak menjelang AGM kali ini.

"Saya ada mendapat maklumat yang mengatakan bahawa ada imbuhan ditawarkan dan kami sudah membuat laporan kepada SPRM.

"Sekiranya terdapat aduan, mereka akan menyiasat individu yang membuat perjanjian yang mempunyai unsur politik wang," tambahnya.

AGM kali ini tampil dengan pertembungan dua pihak melibatkan presiden terdahulu, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, dan Timbalan Speaker Parlimen, Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang akan bertanding jawatan presiden KLFA.