Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mendesak Pesuruhjaya Sukan (PJS), Datuk Zaiton Othman, segera mengaturkan pertemuan dengan pihaknya berhubung kemelut penangguhan kongres pemilihan ke-31 yang meletakkan mereka kini seolah-olah digantung tidak bertali.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, berasa hairan selepas surat arahan penangguhan kongres bertarikh 15 November diterima pihaknya, pihak PJS terus membisu.

Situasi itu jelas membingungkan KLFA yang sehingga kini tertanya-tanya apa yang dimahukan setelah dilihat tidak menawarkan jalan penyelesaian.

Dalam masa sama, KLFA tetap berkeras prosedur pencalonan yang mereka lakukan tidak menyalahi peraturan Artikel 34 Perkara 2.4.

"Kalau boleh, ia selesai dalam minggu ini atau minggu depan. Sebenarnya, bukan saya sahaja yang ingin berjumpa tetapi wakil rakyat turut sama. Begitu juga dengan setiausaha politik. Kami mempertikaikan mengapa perkara ini boleh berlaku.

"Kalau katakanlah pihak PJS meminta ia dilakukan dalam masa sebulan, saya rasa tiada masalah. Cuma, apa yang penting adalah kami tetap dengan pendirian kami bahawa presiden kekal. Kami tegas dengan pendirian tersebut," kata Nokman.

Ketidakpastian tarikh baru kongres membuatkan KLFA tiada pilihan selain melantik ketua jurulatih baru secepat mungkin.

Nokman juga menegaskan mereka perlu segera melakukan persiapan walaupun berdepan risiko perubahan pucuk pimpinan selepas kongres.

"Saya berpendapat setelah berbincang dengan presiden dan beberapa exco, kami akan lantik ketua jurulatih pada minggu ini atau minggu depan. Apa yang pasti, ketua jurulatih akan ada minggu depan."