Walaupun PKNS diselubungi kontroversi, ia tidak menghalang bekas pemain negara, Khyril Muhymeen Zambri, menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan kendalian E. Elavarasan itu.

Dari Liga FAM bersama dengan pasukan Air Asia tahun lalu, Khyril yang diterima untuk beraksi bersama pasukan Liga Super, menganggap ia sebagai peluang yang tidak boleh disia-siakan.

Kali terakhir beraksi dalam saingan Liga Super lima tahun lalu, Kyril memberi jaminan dia akan membalas kepercayaan PKNS dengan memastikan keberkesanannya bersama barisan Elavarasan.

"Memang saya bergelut kerana mengalami kecederaan selama dua tahun. Ketika bersama Negeri Sembilan pada 2014 saya sudah cedera, manakala pada pra-musim tahun ini di mana saya hampir pulih saya beraksi bersama Air Asia FC. Pun begitu, lima, enam perlawanan saya tidak bermain.

"Pada musim depan (bersama PKNS), saya berharap dapat memberikan yang terbaik," katanya.

Pemain berasal dari Kedah itu adalah sebahagian daripada pemain yang melakar kejayaan 'treble' bersama skuad negeri itu pada 2007 dan 2008.

Khyril kemudiannya berkelana ke Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke pasukan Air Asia musim ini.

Selain Kyril, Sabre Mat Abu, Azmi Muslim, Fauzan Zulkifli, Azmizi Azmi, S. Sivanesan, Zamir Selamat dan Aizie Faisal Mamat juga sudah mengesahkan tempat untuk bersama PKNS pada musim depan.

Pemain Felda United, Bobby Gonzales, dan pemain Sarawak, K. Gurusamy, turut berada dalam radar PKNS ketika ini.

Penyertaan PKNS dalam saingan musim depan menimbulkan tanda tanya apabila FAS enggan memberi sokongan kepada kelab itu, walaupun tarikh akhir pendaftaran pasukan berakhir esok.

Mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i) Peraturan Pertandingan Liga M 2013-2016, kelab memerlukan sokongan persatuan bola sepak negeri sebagai syarat penyertaan.