Pengendali skuad senior kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, tetap berpuas hati dengan aksi barisan negara dalam perlawanan persahabatan menentang Singapura semalam walaupun sekadar seri tanpa jaringan.

Bagi Kim Swee, bukan mudah untuk pemain membentuk keserasian memandangkan ini adalah kali pertama sebahagian daripada mereka beraksi bersama.

Namun, dengan kecederaan serta persaraan beberapa tonggak utama, Kim Swee mengakui terpaksa mengatur strategi mengikut kualiti pemain yang dimilikinya.

"Saya mahu menerapkan permainan cantik tetapi pada akhirnya jika kami tidak menang, ia adalah bencana.

"Jika kami gagal bermain dengan baik dan melakukan apa yang harus dilakukan dan mendapatkan keputusan, ia bagus.

"Anda perlu melihat kepada kualiti. Jika saya memiliki pasukan sebagaimana ketika bertemu Timor-Leste, maka kita akan dapat keputusan yang lebih baik," kata Kim Swee.

Dalam pada itu, pengendali Singapura, V Sundramoorthy, berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemainnya.

Bagi bekas awang import Kedah itu, pasukannya tidak bernasib baik untuk tidak merakam kemenangan semalam.

"Dari sudut pandangan saya, bola itu sepatutnya masuk.

"Beberapa keputusan (meragukan pengadil) penalti dan sebagainya, selain pemain saya yang mengawal bola dengan baik dan memiliki keyakinan. Ia salah satu persembahan terbaik kami di Stadium Nasional Singapura.

"Peminat juga memberi sokongan kepada kami dan bukannya mengejek, ia petanda yang baik," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menganggap Harimau Malaysia berdepan tugas berat untuk menjuarai Piala AFF Suzuki 2016 selepas mempamerkan aksi tidak meyakinkan di Singapura.

"(Harimau Malaysia) belum lagi bertemu rentak permainan yang dikehendaki untuk berjaya dalam Piala AFF nanti.

"Saya rasa kita bernasib baik tidak kalah semalam. Bola juga beberapa kali terkena palang dan diselamatkan penjaga gol kita.

"Saya harap kita dapat melihat taktikal yang lebih bagus lagi daripada pasukan kita menjelang Piala AFF nanti," katanya.