Khairul Fahmi setia bersama TRW

Oleh Penulis Jemputan 16 November 2017 2285
Khairul Fahmi setia bersama TRW
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, mengakui kepimpinan baru Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mendorongnya menolak lamaran berharga Melaka United dan kekal bersama The Red Warriors, musim depan. 

Meskipun Khairul Fahmi masih memiliki kontrak setahun lagi dengan Kelantan, kudratnya tetap ditagih skuad Melaka. 

Pengurus pasukan itu, Datuk Wira Yusoff Mahadi, membuat pengakuan terbuka berminat mendapatkan khidmat bekas penjaga gawang utama skuad kebangsaan itu dengan kesediaan menebus baki kontraknya.

Begitupun, pemain yang mesra dipanggil Apek itu memilih untuk terus menabur bakti bersama Kelantan setelah KAFA mengumumkan dia antara empat pemain senior yang dikekalkan bersama pasukan itu musim depan. 

"Saya berminat untuk terus bersama Kelantan di bawah pengurusan baru pimpinan presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan, dan Insya-Allah kami akan menaikkan semula skuad Kelantan pada tahun depan," katanya. 

Walaupun  musim baru Liga Malaysia (Liga M) akan bermula awal tahun depan, Apek mengambil inisiatif sendiri untuk mengekalkan kecergasannya. 

Penjaga gol berusia 28 tahun itu menyertai satu perlawanan amal di ibu negara membabitkan pemain-pemain pilihan Liga M, malam tadi, antaranya pertahanan Selangor, Razman Roslan, pertahanan Pahang, Afif Amiruddin, serta pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Amirulhadi Zainal. 

"Secara tidak langsung perlawanan ini mendekatkan pemain dengan peminat," kata penganjur perlawanan, Mustaffa Kamar Mazlan. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen