Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memutuskan tidak lagi menggunakan khidmat Liridon Krasniqi bagi memberi peluang kepada muka baru untuk membarisi pasukan Helang Merah musim depan.

Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata keputusan itu muktamad kerana selain menjimatkan kos, Kedah dapat mengetengahkan barisan pemain tempatan yang berkaliber dan setanding dengan pemain import.

"Kami sememangnya tidak menyambung kontrak Liridon dan ia adalah keputusan muktamad kerana kami melihat daripada keadaan kewangan KFA yang kami tidak mahu pengurusan kos menjadi terlalu tinggi jika mendapatkan khidmatnya.

"KFA kini beri fokus kepada pemain tempatan yang boleh bermain dengan baik dan tahap profesionalisme yang tinggi. Itu yang lebih penting," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan meletakkan Liridon dalam senarai sebagai pemain naturalisasi, seterusnya dipanggil untuk menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Namun, terdapat halangan untuk menjadikan Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua Harimau Malaya selepas Mohamadou Sumareh kerana tidak dikekalkan oleh Kedah untuk musim depan.

Asmirul, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, berkata buat masa ini terpulang kepada mana-mana pasukan negeri lain untuk menggunakan khidmat Liridon bagi membolehkannya menyarung jersi skuad kebangsaan.

Sementara itu, Mohd Asmirul berkata keputusan rayuan berhubung jumlah pampasan ditetapkan Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya bernilai RM75,000 bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain muda Kedah, Akhyar Rashid, akan diputuskan melalui mesyuarat di antara KFA dan FAM esok.

Sebelum ini, KFA mengakui masih belum berpuas hati berkaitan isu pelepasan kontrak Akhyar yang diputuskan FAM dan menganggapnya belum selesai.

-- BERNAMA