KFA jamin selesai gaji pemain selepas PKP fasa ketiga

Oleh Bernama 15 April 2020 456
KFA jamin selesai gaji pemain selepas PKP fasa ketiga
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawainya setelah berakhir fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 28 April ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris, menerusi hantaran terbaru dalam Facebooknya berkata kelewatan pembayaran gaji kepada pemain dan pegawai skuad Lang Merah itu disebabkan pihak penaja KFA berdepan masalah kewangan susulan tempoh PKP dilanjutkan dan memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Mohd Asmirul, yang merupakan anggota exco kerajaan negeri, menegaskan keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah menyelesaikan kesemua bajet rangsangan ekonomi serta bantuan keperluan kepada rakyat untuk menampung kos sara hidup susulan PKP.

“Misi menaik taraf keperluan kesihatan serta menyelamatkan nyawa rakyat menjadi keperluan yang amat penting. 

"Kerajaan Kedah memfokuskan kepada pematuhan PKP ini dititikberatkan sehinggalah kami berjaya mengekalkan lima hari (10-14 April) berturut-turut tiada kes baharu COVID-19.

“Bola sepak sebagai sukan yang paling diminati di Kedah tidak akan dipinggirkan. Ia kini berada di agenda kedua langkah penyelesaian setelah pihak penaja menghadapi kekangan ketika kegawatan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen