Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memberi jaminan bahawa tunggakan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan itu pada Mac lalu akan diselesaikan sebelum 15 Ogos ini tetapi pembayaran dari April hingga Julai lalu akan diputuskan dalam rundingan bersama di antara pihak pengurusan dan pemain.

Mengulas mengenai perkara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, berkata kepada Nadi Arena: "Berita baiknya adalah mereka (KFA) akan menyelesaikan pembayaran bagi bulan Mac pada 15 Ogos ini tetapi janganlah selesai di tahap itu dan boleh berasa gembira.

"Sudah pasti semua dalam pasukan ini akan bertanya bila pula pembayaran bagi bulan April, Mei, Jun dan Julai.

"Ini adalah perkara yang kami harap dapat diselesaikan melalui perbincangan itu sebelum 15 Ogos ini," katanya.

Mengenai kemungkinan gaji mereka akan dipotong melalui rundingan itu, pengendali berbangsa Singapura itu menambah: "Saya fikir ada sisi yang baik dan buruk. Kita perlu mengikut undang-undang. Terdapat undang-undang mengenai pemotongan (gaji) dan kita perlu menghormatinya.

"Sudah pasti kami mengharapkan akan mendapatkan kesepakatan kedua-dua pihak daripada perbincangan itu.

"Kami perlu bersikap profesional dalam perkara ini kerana kita tahu betapa pandemik COVID-19 telah memberikan kesan kepada ramai orang.

"Tetapi usah dilupakan juga kesan kepada pemain dan pegawai apabila kami tidak mendapat gaji.

"Ia dua perkara yang perlu dilihat dan kami perlu duduk bersama untuk memastikan kedua-dua pihak faham dan mendapatkan persetujuan," katanya lagi.