Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, mengakui kesilapan pemain dan keputusan ofsaid menjadi punca pasukannya tewas 2-1 kepada Johor Darul Ta'zim di Larkin, malam tadi.

The Bos Gaurus berjaya menamatkan aksi babak pertama di depan hasil sepakan percuma Hafiz Kamal, namun skrip separuh masa kedua tidak memihak kepada anak buah Durakovic.

JDT bangkit dengan gol penyamaan hasil jaringan pertahanan, Fadhli Shas, pada minit ke-47 sebelum bekas penyerang Kelantan, Mohammed Ghaddar, mengesahkan kemenangan tuan rumah 10 minit kemudian.

Mengakui JDT satu pasukan yang mantap di laman sendiri, Durakovic tetap memuji persembahan pemainnya, terutama dalam babak pertama.

"Kita tahu JDT satu pasukan yang kuat, terutama di laman sendiri. Bagi saya, kami bermain dengan baik dalam 45 minit pertama. Kami menjaringkan gol hasil sepakan percuma yang bertaraf dunia.

"Tetapi dalam babak kedua, berpunca daripada satu kesilapan pemain dan ofsaid, mereka berjaya meledak dua gol."

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Ulisses Morais, berkata pasukannya bergelut dalam menghadirkan tiga mata.

"Kami berhadapan kesukaran tapi berjaya menguasai situasi, ada satu ketika kami terpaksa berhempas-pulas tapi keputusan masih memihak kami."

Perak bakal berdepan PKSN FC dalam misi memburu kemenangan kelapan musim ini sementara JDT bakal bertandang ke Selayang berdepan Selangor, 5 Ogos ini.