Pertahanan baru Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam Nor Azlin, bertekad untuk bersaing merebut tempat bersama Harimau Selatan pada musim depan dan sedia menyahut cabaran baru bersama juara Piala Malaysia 2017 itu.

Pemain berasal dari Klang itu mengakui cabaran merebut tempat dalam kesebelasan utama JDT pasti sengit dengan kehadiran pemain berpengalaman seperti Aidil Zafuan Abdul Razak, Marcos Antonio Santos, Junior Eldstal dan Fadhli Shas.

Bagaimanapun, Adam yakin dengan kemampunnya dan percaya suasana kompetitif dalam kem JDT akan membolehkannya meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi.

“Bagi saya, penghijrahan ke JDT adalah untuk memperkembangkan bakat walaupun ada yang mengatakan saya akan duduk di bangku simpanan kerana ke mana sahaja pasukan yang saya pergi, saya akan berjuang untuk mendapatkan tempat.

“Saya akan membuktikan kepada jurulatih bahawa saya mampu untuk beraksi dalam kempen Liga Super atau kejohanan lain,” katanya.

Selaku anak jati Selangor, Adam mengakui bukan keputusan mudah untuknya meninggalkan pasukan itu, namun demi ke aras lebih tinggi dalam kerjaya profesionalnya, dia memilih untuk menyahut cabaran ke selatan tanah air.

“Selangor memiliki satu keistimewaan, iaitu aspek kekeluargaan. Tiada perbezaan antara pemain muda dan senior.

“Inilah bola sepak,” katanya lagi.