Bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri, menganggap peletakan jawatan Datuk Seri Subahan Kamal selaku presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menjadi satu berita menggembirakan buat pencinta bola sepak skuad Merah Kuning yang mahu melihat pembaharuan.

Asmawi berasa kini adalah detik terbaik untuk penjenamaan semula bola sepak Selangor selepas beberapa tahun dihimpit pelbagai isu dan kontroversi yang tidak berkesudahan.

Hasrat pengunduran Subahan adalah formula terbaik bagi memastikan sokongan daripada semua pihak, termasuk kerajaan negeri, malah dia berpandangan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Raja Muda Selangor sebagai pilihan terbaik bagi menerajui FAS.

"Bukan saya sahaja yang menantikan perkhabaran ini, malah seluruh warga Selangor. Jika dilihat, keputusan Subahan itu memberi ruang buat pembaharuan bola sepak Selangor dan memang sepatutnya itu berlaku.

"Bagi saya, nama Tengku Amir Shah yang disebut-sebut untuk menggalas tugas itu juga mampu memberikan tonik baru buat skuad Selangor," ujarnya.

Dalam masa sama, Asmawi juga mahu FAS selepas ini mampu bergerak bebas tanpa tekanan mana-mana pengaruh parti politik sambil berharap penglibatan bekas-bekas pemain mampu membantu skuad Red Giants, terutama dalam soal pembangunan akar umbi bola sepak Selangor.

"Daripada segi bola sepak, Selangor memiliki segalanya, termasuk stadium dan pembangunan pemain muda. Jadi, sepatutnya perkembangan ini tidak boleh hilang daripada perancangan," tambahnya.