Penolong jurulatih Kedah, Victor Andrag, mengakui sukar menerima keputusan seri 2-2 dengan Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu semalam.

Menurutnya, pasukannya sudah mencuba sehabis baik mempertahankan kelebihan 2-1 selepas bek kiri, Azmeer Yusof, diarah keluar padang pada minit ke-68.

Finalis Piala FA itu di ambang kemenangan hingga penyerang TFC, Kipre Tchetche, menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan.

"Kedah bermula baik, namun kecederaan Azammuddin (Akil) serta ketiadaan Azmeer mengubah rentak dan kami cuba untuk bertahan.

"Sukar hendak terima tetapi pujian kepada pemain-pemain saya kerana Kedah beraksi dengan 10 pemain dalam 20 minit terakhir," katanya.

Dalam aksi semalam, Shakir Hamzah meletakkan Kedah di depan seawal minit keempat sebelum Sanjar Shaakhmedov (m-33) mengikat kedudukan buat TFC.

Ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, kemudian menanduk masuk hantaran Edgar Bernhardt (m-45), disusuli insiden kad kuning kedua Azmeer pada minit ke-68.

Kesempatan itu dimanfaatkan TFC untuk menggandakan serangan dan menyamakan kedudukan menerusi Tchetche pada minit ketiga masa kecederaan.

"Kami beraksi tanpa tiga tonggak, Ifwat (Akmal Che Kassim), Rizal (Ghazali) dan (Jonathan) Bauman yang tercedera.

"Kami sudah menjangkakan TFC dalam prestasi terbaik dan pujian juga kepada mereka yang menyerang bertubi-tubi," tambahnya.