Keputusan FAM kekal -- Stuart

Oleh Ammar Hakim 2 November 2020 3200
Keputusan FAM kekal -- Stuart
'Keputusan FAM kekal' tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, berhubung kegagalan Felda United dan UKM FC dalam proses penswastaan dan tidak boleh beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.
 
Mengesahkan perkara berkenaan kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Stuart juga menegaskan tiada istilah talian hayat diberikan pihaknya walaupun pasukan terbabit sudah mengemukakan rayuan.

"Setiap pasukan terbabit telah diberikan masa yang secukupnya untuk mengemukakan dokumen dan mereka tidak meminta sebarang masa tambahan bagi menyediakan apa yang telah diperlukan," katanya.

"Keputusan yang telah diambil adalah muktamad setakat ini."

UKM dan Felda United gagal dalam penswastaan kelab bersyarikat berikutan kedudukan kewangan pelabur baru untuk menampung kos pengendalian pasukan bagi musim depan didapati tidak cukup kukuh.

Difahamkan, jumlah keuntungan tahunan pelabur baru dua pasukan berkenaan tidak mencecah RM1 juta malah serendah, RM50,000.

Ia sekali gus menyebabkan dua pasukan yang mahu dijenamakan semula itu disingkirkan daripada Liga M bagi mengelak masalah berkaitan gaji berlaku lagi.

"Jika sesebuah syarikat atau individu mengambil alih pasukan yang memerlukan belanja RM5 juta setahun, perkara ini harus diperjelas terlebih dahulu bagi memastikan tiada masalah berlaku pada masa akan datang," kata Stuart lagi.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen