Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Illias Khan, mengakui terkejut dengan tindakan Fajer Ibrahim meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih pasukan dan akan bertemu dengan pengendali kelahiran Syria itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Bibi ketika ditemui Nadi Arena hari ini menegaskan mahu bertemu dulu dengan Fajer sebelum menentukan sama ada KAFA menerima atau tidak peletakan jawatannya.

Fajer juga hanya menyuarakan hasrat melepaskan jawatan yang dipegang menerusi penolongnya, Yusri Che Lah, ketika sidang media pasca perlawanan PKNP FC dan Kelantan, semalam.

"Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa notis peletakan jawatan daripada Fajer.

"Jadi, untuk memberi pencerahan lebih lanjut, kita perlu tunggu hitam putih. Semasa bertemu dengannya semalam, dia juga tidak menyatakan kepada saya tentang soal peletakan jawatan.

"Jadi, buat masa ini kami menunggu hitam putih," katanya.

Sekiranya Fajer kekal dengan keputusan untuk mengundurkan diri, Bibi membayangkan Yusri akan kembali memegang status pemangku ketua jurulatih pasukan.

Dalam tiga aksi Liga Super yang dikendalikan Fajer, Kelantan sekadar meraih satu keputusan seri dan dua kekalahan.

Dalam masa sama, Bibi turut mempertahankan tindakan pengurusan KAFA menggunakan kudrat pemain muda pada musim ini walaupun sedar tindakan itu tidak disenangi penyokong Kelantan.

"Dengan (khidmat) pemain senior sebelum ini sekalipun, kami pernah hampir terjatuh ke Liga Perdana. Tidak salah kalau kami ingin membuat perubahan.

"Lagipun, masih ada beberapa lagi pemain senior dan jangan mengharapkan keputusan drastik.

"Terlalu awal untuk mereka ke final. Cubalah terima kekalahan, kemenangan itu adalah satu rezeki buat kami," tambahnya.